Thursday, 4 September 2014

Limitasi Bidangkuasa Mahkamah Syariah di Malaysia

Di dalam Perlembagaan Persekutuan Jadual Sembilan Senarai 2-Senarai Negeri peruntukkan 1 menyebut;
 
Kecuali mengenai Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,Labuan dan Putrajaya Hukum Syarak dan Undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut ugama Islam,termasuk Hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat,pertunangan perkahwinan dan penceraian,maskahwin dan nafkah,pengambilan anak angkat,taraf anak,penjagaan anak,pemberian,pembahagian harta,dan amanah bukan khairat;wakaf Islam dan takrif serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama,perlantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian agama Islam dan khairat,yayasan,amanah.Khairat dan yayasan khairat yang dijalankan kesemuanya sekali dalan Negeri;adat istiadat Melayu;zakat,fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya;masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam;mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut agama Islam terhadap rukun-rukun Islam,kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam senarai persekutuan;keanggotaan,penyusunan dan acara bagi mahkamah-mahkamah Syariah,yang akan mempunyai bidang kuasa hanya keatas orang-orang yang menganut agama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara-perkara yang termasuk dalam perenggan ini,teteapi tidak mempunyai bidang kuasa  mengenai kesalahan-kesalahan kecuali yang setakat diberi oleh undang-undang persekutuan;mengawal mengembang iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang mnganut agama Islam;menentukan perkara-perkara hukum Syarak dan iktikad dan adat istiadat Melayu.
Walau bagaimanapun negeri-negeri tidaklah berkuasa sepenuhnya seperti itu. Sebaliknya ia terikat dengan kehendak yang terdapat dalam peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam perlembagaan Persekutuan sendiri secara keseluruhannya. Jelasnya, apa-apa saja undang-undang Islam yang digubal oleh negeri-negeri berkenaan hendaklah tidak bertentangan dengan mana-mana peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.Ini kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan,undang-undang tertinggi sekali di Malaysia ialah Perlembagaan itu sendiri.Oleh yang demikian,setiap undang-undang yang hendak dikuatkuasakan,termasuk juga undang-undang Islam hendaklah tidak bertentangan atau bercanggah dengan.Peruntukan berkenaan.

Sebagaimana yang terdapat dalam Perkara 4 (1) berbunyi:
Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan ,dan apa-apa undang –undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berkenaan dengan perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat mana yang berlawanan itu.
  Selain itu,satu sekatan lain terhadap kebebasan negeri-negeri dalam menggubal dan melaksanakan undang-undang Islam ialah bahawa undang-undang berkenaan hanyalah akan dilaksanakan ke atas orang-orang Islam sahaja.Hal ini jelas dapat dilihat dalam peruntukan dalam Jadual kesembilan,Senarai 2-Senarai Negeri,seperti mana yang elah disebut di atas.Ia juga sesuai dengan kehendak kebebasan beragama dan mengamalkan ajaran agama masing-masing bagi setiap orang di Malaysia. Perkara 11 (1) perlembagaan menyebut :

Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.
Malah,negeri-negeri juga tidak mempunyai kebebasan yang sepenuhnya untuk melaksanakan undang-undang Islam walaupun dalam batas-batas di atas dan dalam ruang bidang kuasa seperti mana yang tercatat dalam Jadual Kesembilan,Senarai 2-Senarai Negeri di atas.Walaupun peruntukan berkenaan menyatakan bahawa perkara-perkara tersebut telah dimasukan dalam senarai negeri,namun terdapat banyak undang-undang persekutuan yang menghadkan bidang dan pemakaian undang-undang negeri.Antara contohnya ialah dalam bidang warisan,mati berwasiat,pertumbangan-pertimbangan harus diberi kepada Akta Probet dan Pentadbiran dan Akta Pusaka Kecil(pembahagian) yang mengakibatkan kadi-kadi sebenarnya diberi fungsi untuk mengesahkan bahagian-bahagian yang harus yang harus diberi  kepada waris-waris di bawah undang-undang Islam.Dalam bidang undang-undang jenayah pula,bidang kuasa Mahkamah Syariah selain daripada terhad kepada orang-orang Islam sahaja juga terhad kepada kesalahan-kesalahan yang diberi peruntukan oleh undang-undang persekutuan.

Mahkamah Syariah juga tidak memepunyai bidang kuasa ke atas pihak-pihak yang bertikai yang salah seorangnya bukan Islam.Misalnya,dalam soal hadanah,jika ibunya seorang bukan Islam dan bapanya seorang Islam,perkara ini masih boleh dibawa ke Mahkamah Sivil dan diputuskan di situ.Dalam Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinana dan Penceraian) 1976,Mahkamah Sivil diberi kuasa untuk membenarkan penceraian jika pihak pada perkahwinan tersebut yang dijalankan bukan secara Islam,telah memeluk agama Islam dan pihak yang satu lagi yang tidak memeluk agama Islam boleh membawa petisyen ke Mahkamah.



Di bawah Akta Mahkamah-mahkamah Islam (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, pindaan 1984 bidang kuasa mahkamah hanya meliputi kesalahan-kesalahan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 3 tahun, denda tidak lebih daripada RM5000.00 rotan yang tidak melebihi 6 kali atau kombinasi mana-mana daripada hukuman tersebut. Bidang kuasa ini terlalau kecil dibandingkan dengan kuasa Majistret kelas pertama yang boleh menghukum sehingga 10 tahun penjara, denda sehingga RM10,000.00, rotan sehingga 12 kali atau mana-mana kombinasi hukuman di atas.

Selain itu terdapat satu lagi akta persekutuan yang menyempitkan bidang kuasa undang-undang Islam dan perlaksanaannya sebagaimana yang diperuntukan dalam Jadual Kesembilan  yang diperuntukan, Senarai 2 di atas. Akta tersebut ialah Akta Undang-undang Sivil yang mula diadakan dalam tahun 1937.Akta ini telah memberi kedudukan istimewa kepada Common Law Inggeris dan memperkecil atau menafikan peranan luas undang-undang Islam.Mengikut akta tersebut,jika tidak ada peruntukan lain dibuat oleh mana-mana undang-undang bertulis dalam mana-mana perkara,mahkamah hendaklah mentadbir dan menguatkuasakan undang-undang Common Law Inggeris dan Kaedah Ekuiti yang ditadbirkan di England pada 17.4.1956.


Kesan daripada Perlembagaan Persekutuan,Perkara 73,74,75,76 A dan 77,jelas menghadkan lagi bidangkuasa Mahkamah Syariah yang sedia sempit menjadi bertambah sempit.

 


Isu-isu Islam di Mahkamah Sivil

  1)Wakaf

          Sungguhpun wakaf disebut sebagai di dalam senarai negeri dan  juga di dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah, akan tetapi oleh kerana wakaf ditubuhkan melalui surat amanah atau wasiat, perkara itu boleh dibawa kepada Mahkamah Sivil, lebih-lebih lagi jika tanah tersebut tidak didaftar di atas nama Majlis Agama Islam.
            Di dalam kes Majlis Agama Islam,Pulau Pinang lwn Isa Abdul Rahman [1992] 2 MLJ 244 terdapat tanah wakaf yang mana di atasnya telah didirikan masjid. Majlis Agama Islam mencadang membesarkan masjid itu dan juga mengadakan tempat di kawasan itu yang boleh disewakan untuk perniagaan seperti bank. Ada ahli waris keturunan orang yang membuat wakaf itu membantah cadangan itu dan mereka telah menuntut injuksi dari mahkamah sivil melarang Majlis Agama Islam dari merobohkan masjid itu Majlis Agama Islam telah memohon tuntutan ahli waris itu ditolak kerana dihujahkan perkara itu didalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Permohonan itu telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Agung kerana diputuskan Mahkamah Syariah tidak ada bidangkuasa memberi injuksi yang dipohon dan oleh kerana kes itu dibawah bidangkuasa Mahkamah Sivil.


2) Perwarisan

       Walaupun pada amnya undang-undang diri dan keluarga bagi orang-orang islam adalah tertakluk kepada senarai negeri dan Mahkamah Syariah,tetapi ianya tidak termasuk probet dan suratkuasa mentadbir yang mana masih di dalam Senarai Persekutuan dan tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Sivil.
            Sebagaimana dalam kes Hajah Lijah lwn Fatimah [1950]MLJ 62 seorang balu telah menuntut separuh bahagian diatas tanah yang didaftarkan atas nama suaminya yang telah meninggal dunia. Mahkamah Tinggi Kelantan telah memutuskan bahawa apabila kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi, mahkamah itu boleh memutuskan kes  itu dan di dalam kes ini, Mahkamah Tinggi memutuskan balu itu berhak mendapat separuh bahagian tanah itu sebagai harta sepencarian. Walaubagaimanapun mahkamah itu berkata jika nilai harta itu kurang daripada $500/- kes seperti itu biasanya hendaklah diputuskan di Mahkamah Kadi.


3)Kekeluargaan

            Mahkamah Sivil adakalanya dapat campurtangan di dalam undang-undang keluarga Islam, walaupun peruntukan perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

4) Masuk Islam dan Murtad

               Di dalam kes Ng Wan Chan lwn Majlis Agama Islam [1991]3MLJ 487, soal yang timbul adalah samada simati adalah seoarang Buddha atau orang Islam pada masa ia mati. Permohonan telah dibuat ke Mahkamah Tinggi untuk mengisytihar bahawa si mati adalah seorang Buddha akan tetapi telah dihujahkan bahawa perkara itu hendaklah dibawa ke Mahkamah Syariah. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa tidak ada undang-undang di Wilayah Persekutuan yang memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah menentukan samada  seorang itu Islam ataupun bukan Islam pada masa kematiannya dan oleh kerana itu,Mahkamah Tinggi boleh memutuskan perkara itu.

            Berbanding dengan kes  Dalip Kaur lwn Pegawai Polis Bukit Mertajam [1992] MLJ 1, soal samada seseorang yang telah menganuti agama Islam telah murtad atau tidak telah dirujukkan kepada Majlis Agama Pulau Pinang. Di dalam jawapan bertulis yang diberi oleh Majlis Fatwa Pulau Pinang, Majlis Fatwa antara lain menyebutkan “untuk menentukan sama ada seseorang itu keluar daripada Islam (murtad),atau tidak hendaklah terlebih dahulu disabitkan oleh mana-mana Mahkamah Syariah dan dihukum ia sebagai terkeluar daripada Islam (murtad), jika tidak ada disabitkan oleh mana-mana Mahkamah Syariah dan dihukum maka seseorang itu teteap agama Islam”. Pendapat itu telah diterima oleh Mahkamah Agung Hashim Yeop Sani H.B berpendapat –Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman berhak menerima jawapan-jawapan dari jawatankuasa Fatwa kepada soalan-soalan yang dkemukakan kepada mereka dan yang mana dipersetujui oleh semua pihak Jawatankuasa Fatwa itu berpendapat bahawa si mati adalah seorang Islam kerana ia telah sabit keIslamannya apabila ia mengucap dua kalimah syahadat di hadapan kadi seperti di dalam surat ikrar orang yang masuk Islam kerana tidak ada keputusan daripada mana-mana Mahkamah Syariah yang mensabitkan ia terkeluar daripada Islam” Seorang Hakim lain di Mahkamah Agung ,iaitu Mohamed Yusoff H.M.A berpendapat Mahkamah Syariah sahajalah yang layak menjawab soalan itu.

 
 Analisis Isu Islam di Mahkamah Sivil


Mahkamah Syariah di Malaysia berada dalam kedudukan yang agak istimewa kerana dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Tetapi mahkamah ini tetap mempunyai kelemahan kerana terdapat sesetengah isu Islam yang dibicarakan di Mahkamah Sivil dan mengenepikan keputusan Mahkamah Syariah sebelum itu dan Mahkamah Syariah tidak boleh membicarakan kes-kes orang bukan Islam. Contoh yang paling dekat, keluarga M.Moorthy tidak boleh didakwa oleh Mahkamah Syariah sebagai menghina mahkamah. Maka dalam keadaan ini orang bukan Islam boleh rasa selamat.
            Perlembagaan Persekutuan melalui perkara 121(1a) melindungi Mahkamah Syariah dengan tidak memberi sebarang hak kepada mahkamah sivil untuk mempertikai keputusan Mahkamah Syariah. Dengan peruntukan ini juga bermakna mahkamah syariah telah diberi kuasa mutlak membicarakan kes umat Islam.

            Sebelum pindaan tersebut diadakan Mahkamah Sivil boleh menjalankan bidang kuasa sungguhpun perkara itu dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Campur tangan ini amat jelas dalam perkara mengenai undang-undang keluarga Islam.
            Konflik bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil, walaupun telah ada pindaan tersebut akan berterusan kerana terdapat beberapa undang-undang Persekutuan yang masih bercanggah bidang kuasa seperti mengenai pembatalan sesuatu perkahwinan apabila satu pihak masuk Islam. Dalam kes Ng Swee Pian lwn. Abdul wahid telah membuat perintah membatalkan perkahwinan seorang lelaki yang telah berkahwin mengikut Undang-undang Sivil kerana telah memeluk Islam dan pihak yang menuntut enggan memeluk Islam. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mahkamah Kadi itu tiada bidang kuasa membuat perintah seperti itu.
            Amalan kebiasaan Mahkamah Sivil ialah apabila sesuatu kes melibatkan pihak orang Islam dan pihak bukan Islam dan mempunyai percanggahan seperti ini Mahkamah Sivil selalu merujuk kepada Undang-undang Sivil iaitu undang-undang pihak bukan Islam. Adalah diharapkan Mahkamah Sivil akan juga membuat rujukan hukum syarak dalam usaha menyelesaikan sebarang kes yang melibatkan kedua-dua belah pihak.
            Sebenarnya peruntukan dalam Perlembagaan itu baru sahaja dipinda setelah berlaku beberapa kes yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah dipertikaikan oleh pihak yang menentang. Terdapat beberapa kes itu, pihak yang menentang memohon di Mahkamah Sivil membatalkan keputusan Mahkamah Syariah. Memang ada kes yang berjaya dibatalkan kerana peruntukan Undang-undang Syariah dengan Undang-undang Sivil berbeza tafsirannya.
            Peruntukan ini sepatutnya tidak dipertikaikan oleh rakyat Malaysia yang bukan islam kerana peruntukan ini hanya untuk menjaga kepentingan orang Islam tanpa mengganggu hak orang lain. Jadi, orang Islam tidak perlu bimbang hanya kerana kes Moorthy. Sehingga setakat ini, undang-undang Islam dan Mahkamah syariah tidak pernah bertindak di luar batas yang dibenar oleh Islam. Hakimnya akan menjatuhkan hukuman menurut fakta dan bukti yang diberi secara jelas oleh pihak yang terbabit. Selain itu, Mahkamah Syariah tiada kuasa terhadap orang yang jelas bukan beragama Islam.
            Usaha penyusunan semula Mahkamah- mahkamah Syariah seluruh Malaysia telah dan sedang dibuat. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Julai 1996 telah menimbang dan bersetuju akan cadangan penyusunan semula Mahkamah-mahkamah Syariah seluruh Malaysia. Dengan demikian;
i)          Sebuah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan yang mana Ketua Hakim Mahkamah Syariah Malaysia adalah Ketua Perkhidmatan Pegawai Syariah seluruh Malaysia dan diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri;
ii)           Supaya struktur organisasi Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia diwujudkan;
iii)          Supaya Kerajaan Persekutuan mewujudkan empat jawatan pegawai syariah untuk diletakkan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah;
iv)          Supaya satu Perkhidmatan Gunasama Pegawai Syariah diwujudkan oleh Kerajaan persekutuan bagi mengisi jawatan di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia  dengan menggunakan Skim Perkhidmatan Pegawai Syariah yang sedia ada;
v)         Supaya satu perjanjian diadakan di antara kerajaan negeri mengenai perkara-perkara berkaitan dengan  Mahkamah Syariah;
vi)       Supaya Kerajaan Persekutuan membiayai segala emolument, elaun tetap bulanan dan lain-lain pegawai Syariah yang berkhidmat di Mahkamah Tinggi Syariah di negeri-negeri dan mahkamah Rayuan Syariah;
vii)      Supaya mendapatkan persetujuan Majlis Raja-raja dan kerajaan-kerajaan negari mengenai cadangan mewujudkan satu Perkhidmatan Gunasama Pegawai Syariah seluruh Malaysia;

No comments:

Post a Comment